Wednesday, June 3, 2009

Skim bantu individu tiada kerja tetap

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan mengarahkan Bank Negara mengkaji mekanisme terbaik bagi membolehkan skim membantu individu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap mendapat pinjaman peribadi diwujudkan segera. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung, berkata kajian teliti mengambil kira pelbagai aspek perlu dilakukan bagi memastikan dana yang akan diperuntukkan kelak tidak disalahguna. Beliau berkata, pihaknya menunggu hasil kajian itu sebelum dapat melaksanakannya bagi mengelakkan golongan yang memerlukan wang berhutang dengan along.

“Jika cadangan kerajaan untuk mewujudkan skim ini munasabah, boleh diterima, maka Bank Negara kena kaji, buat penyelidikan. “Kementerian Kewangan menunggu kajian dari Bank Negara, kita tidak mahu duit kerajaan hilang begitu saja sebab saya difahamkan peratusan besar mereka yang berhutang dengan along adalah ‘tahi judi’, skim ini perlu ada kriteria tertentu termasuk menilai latar belakang peminjam,” katanya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas usaha kementerian mewujudkan skim bagi membantu individu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap mendapat pinjaman peribadi bagi mengelakkan mereka berhutang dengan along. Chor berkata, kerajaan menubuhkan pelbagai skim bagi membantu golongan berpendapatan rendah atau tidak mempunyai pekerjaan tetap membuat pinjaman peribadi termasuk bagi tujuan perniagaan.

“Contohnya skim mikro kredit yang banyak membantu penjaja kecil menjalankan perniagaan. “Memang ia mengambil masa untuk proses permohonan, namun dana untuk membantu golongan ini sudah ada, begitu juga untuk tujuan peribadi lain seperti pendidikan anak,” katanya.
SUMBER : BERITA HARIAN